Selasa, November 24, 2009

Tahukah Anda? (5)

FAKTA MENARIK


PERPUSTAKAAN Al-Azhar merupakan sebuah daripada perpustakaan yang termasyhur di dunia. Perpustakaan ini mempunyai bilangan buku sebanyak 80,000 buah meliputi 60 bidang ilmu dengan indeks yang disusun sebanyak 8 jilid. Perpustakaan ini turut memiliki manuskrip lebih kurang 20,000 jilid.



- Dipetik daripada Ensiklopedia Kesenian & Warisan Islam Jilid 3, Mukasurat 36. Penempatan Perpustakaan Pusat -





Isnin, November 23, 2009

Tahukah Anda? (4)

KHALIFAH TERAKHIR KERAJAAN ABBASIYAH


KHALIFAH terakhir kerajaan Bani Abbasiyah, Al-Muktasim telah dibunuh dengam kejam atas arahan Hulagu Khan pada 20 Februari 1258. Beliau telah dimasukkan ke dalam sebuah beg besar dan dijahit supaya tidak dapat keluar. Tanpa boleh berbuat apa-apa, beliau telah dipijak oleh kuda sehingga mati.



- Dipetik daripada Ensiklopedia Kesenian & Warisan Islam Jilid 1, Mukasurat 46. Penempatan Perpustakaan Pusat -

Jumaat, November 20, 2009

Tinggal Kenangan ...

20 NOVEMBER DALAM KENANGAN


HARI ini genap empat tahun gemulah ayahanda Kak Long dijemput pencipta-Nya. Terasa seperti baharu semalam kami ditinggalkan. Kelmarin pula merupakan hari lahir gemulah Puan Rokiah Wahab ke-51.

Terima kasih kerana kalian pernah mewarnai hidup Kak Long, berkongsi suka duka Kak Long. Kalian tetap dalam ingatan. Semoga kalian berdua diampunkan segala dosa, ditempatkan dalam golongan orang-orang yang dimuliakan-Nya serta sentiasa dalam rahmat-Nya. Al-Fatihah ... Amin.







Rabu, November 18, 2009

Tahukah Anda? (3)

TEMPAT-TEMPAT BERSEJARAH (BUKIT) SEKITAR MAKKAH (MEKAH)


1. BUKIT SAFA

Bukit kecil yang berada lebih kurang 130m di bahagian selatan (agak ke kiri) dari Masjidilharam. Di sinilah tempat yang disyari'atkan sebagai permulaan sa'i. Bukit ini juga turut menyaksikan beberapa peristiwa penting. Antaranya :

a) Dakwah Rasulullah SAW di atas Bukit Safa
b) Quraisy meminta Bukit Safa dijadikan emas
c) Abu Jahal menyakiti Rasulullah SAW di Bukit Safa
d) Bukit Safa menyaksikan beberapa peristiwa sewaktu pembukaan Makkah
e) Tempat keluarnya Dabbah (binatang) daripada bumi


2. BUKIT MARWAH

Bukit kecil yang terbina daripada batu api (sejenis batu putih yang keras). Ia terletak kira-kira 300m ke arah timur laut dari Rukun Syami di Ka'abah. Bukit ini menjadi tanda tempat berakhirnya sa'i di sebelah utara. Inilah bukit kedua tempat Siti Hajar ibu Nabi Ismail A.S berlari-lari mencari air, sebelum terbitnya telaga zamzam.


3. BUKIT ABI QUBAIS

Sebuah bukit berhadapan Bukit Safa dan Masjidilharam. Tingginya dari aras laut ialah 420m dan 120m dari aras tanah. Sebab dinamakan demikian - menurut Al-Azraqi, Abu Qubais merupakan orang pertama membina bangunan di atasnya. Semasa zaman jahiliah, bukit ini dikenali dengan nama Al-Amin (pemegang amanah) kerana Hajarulaswad disimpan di dalamnya ketika berlaku taufan pada zaman Nabi Nuh A.S. Istana Al-Safa terletak di atas bukit ini.


4. BUKIT QU'AIQI'AN

Terletak di sebelah utara Masjidilharam, bersebelahan Marwah. Panjangnya bermula dari Al-Syamiyah hingga ke Harrah Al-Bab. Tingginya 430m dari aras laut dan 110m dari aras bumi. Bukit kedua terbesar di Makkah selepas Bukit Abi Qubais. Sebab dinamakan Qu'aiqi'an (tempat berlaga senjata), pernah berlaku peperangan antara kaum Jurhum dan Qatura di situ. Di atasnya terletak rumah Abdullah bin Al-Zubair R.A.


5. JABAL NUR DAN GUA HIRA'

Terletak di sebelah timur laut Masjidilharam. Disebut juga sebagai Jabal Hira'. Tingginya dari permukaan tanah kira-kira 281m. Di Gua Hira' (yang terletak di puncaknya) inilah Rasulullah SAW menyendiri dan beribadat sebelum baginda dilantik menjadi nabi dan rasul. Gua Hira' terpilih menerima beberapa kelebihan dan kemuliaan yang tidak dimiliki bukit-bukit lain. Allah SWT memuliakannya dengan menjadikan tempat ini sebagai tempat Rasulullah SAW beribadat serta tempat turunnya wahyu pertama.


6. JABAL THUR DAN GUA THUR

Terletak di tengah-tengah Makkah, kira-kira 4 km dari sebelah selatan Masjidilharam. Tinggi bukit ini dianggarkan sekitar 458m. Pada masa ini, kawasan bukit ini dikenali dengan nama "Hayyu Al-Hijrah" di kawasan Kudai. Gua Thur merupakan tempat persembunyian Rasulullah SAW dan sahabat baginda Saidina Abu Bakar R.A ketika mereka dalam perjalanan hijrah ke Madinah.



Makkah Al-Mukarramah : Kelebihan & Sejarah Karya Abd. Basit Abd. Rahman, Mukasurat 191 - 203





Selasa, November 17, 2009

Tahukah Anda? (2)

NAMA-NAMA MAKKAH


MAKKAH seperti yang disebutkan dalam Al-Qur'an turut dikenali sebagai :

1. Makkah (Surah Al-Fath, Ayat 24)

2. Bakkah (Surah Ali 'Imran, Ayat 96)

3. Ummul Qurra (Surah Al-An'am, Ayat 92 dan Surah Al-Syura, Ayat 7)

4. Al-Balad (Surah Al-Balad, Ayat 1-2)

5. Al-Baldah (Surah Al-Naml, Ayat 91)

6. Al-Baladul Amin (Surah Al-Tin, Ayat 3)

7. Haraman Amina (Surah Al-Qasas, Ayat 57)

8. Ma'ad (Surah Al-Qasas, Ayat 85)

9. Al-Qaryah (Surah Al-Nahl, Ayat 112)

10. Al-Masjidilharam (Surah Al-Baqarah, Ayat 127)




Makkah Al-Mukarramah : Kelebihan & Sejarah Karya Abd. Basit Abd. Rahman, Mukasurat 6 - 11







Ahad, November 15, 2009

Resipi Pilihan Kak Long 9

PARU HALBA


Bahan-Bahannya :

500 gram paru lembu
100 gram bawang putih (dihiris)
100 gram bawang merah (dihiris)
10 gram halia (dihiris)
10 gram serbuk kunyit
2 biji cili merah
1 labu bawang besar
1 paket halba campur
1 tangkai daun kari
Sedikit minyak masak


Cara Membuatnya :

1. Paru dibersihkan dan direbus sehingga lembut.

2. Kemudian hiriskan paru nipis-nipis, goreng sehingga garing.

3. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga naik baunya.

4. Masukkan sedikit air, serbuk kunyit dan bawang besar.

5. Masukkan paru dan masak lagi sehingga kering.




- Resipi dipetik daripada Buku Koleksi Masakan Peribadi Kak Long "Sajian Selera : Lauk-Pauk & Kuih-Muih, Mukasurat 15 -

Sabtu, November 14, 2009

Adab Meminum Air Zamzam

ADAB MEMINUM AIR ZAMZAM


PARA ulama' telah menggariskan beberapa adab yang perlu diikuti semasa meminum air zamzam. Antaranya :

1. Menghadap ke arah kiblat.

2. Minum dengan tiga kali nafas, iaitu dengan tiga kali teguk.

3. Membaca "Bismillah" setiap kali meminumnya.

4. Memuji Allah dengan menyebut "Alhamdulillah" pada setiap nafas.

5. Minum dengan tangan kanan kerana Rasulullah SAW telah mengarahkan umatnya menggunakan tangan kanan ketika makan dan minum. Baginda melarang umatnya menggunakan tangan kiri kerana syaitan makan dan minum menggunakan tangan kiri.

6. Berdoa setelah meminum air zamzam, kerana ia merupakan antara waktu yang diperkenankan doa. Berdoalah dengan doa seperti berikut yang bermaksud : "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada semua penyakit."




Makkah Al-Mukarramah : Kelebihan & Sejarah Karya Abd. Basit Abd. Rahman, Mukasurat 52





Jumaat, November 13, 2009

Tahukah Anda?

NAMA-NAMA ZAMZAM


PARA ulama berkata bahawa antara tanda-tanda yang menunjukkan ketinggian sesuatu perkara ialah terdapat banyaknya nama dan sifat bagi perkara tersebut. Demikanlah keadaan air zamzam yang merupakan air yang terbaik dan termulia di atas muka bumi.

Zamzam mempunyai lebih daripada lima puluh nama. Antaranya Zamzam, Barakah, Mubarakah, Barrah, Busyra, Tuktam, Maktumah, Haramiyyah, Hafirah Abdul Muttalib, Rakdhah Jibrail, Al-Rawa', Sabiq, Salimah, Siqayah Al-Haj, Sayyidah, Shabba'ah, Syarab Al-Abrar, Syifa' Suqmin, Sofiyah, Thahirah, Tha'am Thu'min dll.




Makkah Al-Mukarramah : Kelebihan & Sejarah Karya Abd. Basit Abd. Rahman, Mukasurat 49






Rabu, November 11, 2009

Ilham Itu ...

MENGENAI ILHAM


ILHAM itu adalah 'sesuatu' yang dicampakkan oleh Allah SWT ke dalam hati seseorang yang dikehendaki sama ada membuatkan seseorang itu melakukan sesuatu atau meninggalkannya. Ilham hanya didapati menerusi usaha yang bersungguh-sungguh secara berterusan. Sekiranya anda berusaha belajar, mengkaji, menyelidik dan sebagainya secara bersungguh-sungguh, anda pasti akan didatangi ilham kemudiannya.








Selasa, November 10, 2009

Kehidupan Tanpa Bahan Bacaan?

MEMBACA ITU PERLU


BERAPA lamakah masa yang anda habiskan untuk membaca sesebuah buku? Sehari? Seminggu? Sebulan atau .............. ? Berapa lamakah pula masa yang anda habiskan untuk membaca majalah (termasuk yang bercorak hiburan ringan) atau sekadar melayari internet? Justeru apapun bahan bacaan pilihan anda, membaca perlu menjadi keutamaan dalam kehidupan setiap hari.

Bayangkan sebuah kehidupan tanpa bahan bacaan. Permulaan hari anda pasti terasa kosong sekiranya anda melakukan rutin sama, tanpa sebarang inisiatif memperluas pengetahuan serta pemikiran mengisi waktu yang terluang. Setidak-tidaknya anda akan membaca Al-Qur'an (muslim) pada permulaan hari atau kitab-kitab keagamaan lainnya (bukan muslim) sebagai sumber kekuatan diri mengharungi peruntukan masa 24 jam.

Sekalipun anda sedang melayari internet, mata anda pasti akan menancap ayat-ayat tertera pada skrin komputer anda. Begitu juga ketika anda menonton televisyen. Anda pasti ingin mengetahui nama para pelakon yang menjayakan sesebuah cerita, sari kata terjemahan daripada sesebuah cerita asal ataupun ketika anda menyalin kembali resipi menarik yang tersiar dalam sesebuah rancangan masakan kendalian chef-chef terkenal. Itu bermakna anda sedang membaca untuk kembali mengakses maklumat.

Bahan-bahan bacaan bercetak dan bukan bercetak memiliki kuasa pengaksesan maklumat serta dapatan kembali maklumat hampir seimbang. Anda pasti mampu mengingati jalan cerita serta watak-watak terkandung dalam sesebuah novel yang mengesankan. Frasa ayat daripada bahan bacaan bercorak ilmiah juga mampu menghuni ruang ingat anda setidak-tidaknya untuk beberapa ketika.

Mungkin anda masih mengingati beberapa peristiwa yang pernah dilaporkan menerusi akhbar dan majalah pilihan suatu ketika dahulu. Anda mungkin juga tidak dapat melupakan beberapa babak menarik dalam sesebuah filem yang pernah ditonton. Begitu juga paparan cerita serta imej visual menarik menerusi laman sesawang yang pernah anda layari.

Begitulah hebatnya 'kuasa' yang terkandung dalam sesebuah bahan bacaan. Sama ada bahan bacaan pilihan anda itu bercetak atau tidak, pengaksesan maklumat tersebut sedikit sebanyak akan mempengaruhi nilai pemikiran anda. Justeru, mulakan hari anda dengan membaca.